Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Tuesday, December 4, 2012

Mengenali TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG


Masa depan adalah milik mereka yang telah mempersiapkan diri untuknya dari saat ini - peribahasa Afrika

Mukadimah



YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah seorang tokoh dengan permulaan latar belakang yang biasa. Beliau dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga ulama di Kampung Rusila berhampiran pantai Marang, Terengganu; sebuah kampung nelayan yang membentuk diri beliau hari ini.

Beliau memperolehi ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dalam Sains Politik Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau adalah Menteri Besar Terengganu bagi tahun 1999-2004 dan Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang serta Ahli Parlimen Marang sejak beberapa dekad yang lalu.

Beliau kini merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).


Tokoh ulama dan negarawan



Di peringkat tempatan, beliau tidak perlu diperkenalkan lagi.

Di sebalik kepadatan jadual beliau untuk berkhidmat kepada rakyat kawasan beliau yang terdiri dari golongan berpendapatan sederhana  dan memimpin parti dalam landskap politik yang sentiasa berubah, setiap orang pasti bersetuju bahawa beliau mesra dengan semua orang.

Haji Hadi, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Ayah Chik' dalam kalangan keluarga dan penduduk kampung, begitu bersemangat menjalani rutin seharian beliau sebagai seorang ulama dan pemimpin masyarakat.

Hari Jumaat adalah masa terbaik untuk bertemu dengan beliau. Beliau akan mengimami solat Subuh dan menyampaikan kuliah dan khutbah Jumaat di Masjid Kampung Rusila, sebuah masjid yang dibina di dalam kawasan rumahnya.

Beliau dikenali ramai kerana pengajaran dan penulisan beliau dalam pemikiran Islam kontemporari, merangkumi subjek kepercayaan ('aqidah), tafsir dan hadith, fiqh ibadat ('ibadah), urusan perniagaan (mu'amalat), kanun keseksaan (jinayat) dan politik (siyasah).

Beliau sangat terkenal satu ketika dahulu, di mana semua khutbah dan tulisan-tulisannya direkodkan di dalam kaset dan video dan ditulis di dalam buku sehingga tercetusnya Fenomena Haji Hadi pada tahun 80-an, populariti yang terus dikecapi sehingga ke hari ini, setara dengan fenomena Ustaz Azhar Idrus dalam kalangan gen-Y  masa kini dalam rangkaian Youtube dan Facebook.


MB Terengganu


Pencapaian beliau semasa berkhidmat sebagai Menteri Besar Terengganu juga memberangsangkan. Walaupun dinafikan royalti petroleum seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum Tahun 1974, ia bukanlah alasan untuk beliau mengabaikan kesejahteraan negeri.

Antara pencapaian beliau adalah dalam sektor pendidikan (pengukuhan kedua-dua institusi pendidikan formal dan informal dalam negeri); institusi zakat yang adil (pungutan zakat yang lebih tinggi antara tahun 2000-2004 dengan jumlah pungutan sebanyak RM122.4juta berbanding tahun 1990-1999 di bawah pentadbiran UMNO tahun dengan jumlah kutipan hanya sebanyak RM85juta), reformasi tanah (pengurangan premium caj tanah dari 20% ke 10% dan melebihi sasaran untuk menyelesaikan 50,000 tunggakan kes pertikaian tanah setiap tahun);

Ketelusan dalam aktiviti pembalakan (premium RM60.6juta untuk 15,000ha pada tahun 2003 berbanding dengan premium sebanyak RM17.9juta untuk jumlah hektar yang sama semasa pentadbiran UMNO tahun 1997), pengurangan kadar kemiskinan dari 17.3% ke 14%;

Pengenalan dasar '5 hari bekerja' pada tahun 1999, yang kemudiannya diikuti oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2000; pengenalan 90 hari cuti bersalin dan 7 hari cuti menjadi bapa; pemansuhan permit beca dan yuran bakul dalam kalangan peniaga-peniaga kecil, pemansuhan kutipan tol di Jambatan Sultan Mahmud, serta penubuhan semula Undang-Undang Islam dalam perlembagaan negeri dengan pengenalan beberapa enakmen yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau yang digelar Syeikh Abdul Hadi, adalah seorang tokoh besar dalam dunia komuniti Islam kerana pandangan beliau dalam isu keamanan dan demokrasi serta pemikiran beliau dalam bidang pendidikan dan pembangunan umat Islam.

Penglibatan beliau di peringkat antarabangsa bermula sejak di zaman universiti di Madinah dan Kaherah, dan beliau memainkan peranan penting dalam penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Komuniti Islam Antarabangsa (Coordination of International Muslims Community), yang berpangkalan di Istanbul; Jawatankuasa Pengharmonian Mazhab (Committee of Mazhab Harmonisation), yang berpengkalan di Tehran; dan Jawatankuasa Antarabangsa Kebebasan Al-Aqsa (Committee of Al-Aqsa Freedom).

Selain itu beliau turut terlibat dalam beberapa krisis kemanusiaan dan krisis merentas sempadan seperti di Afghanistan, Bosnia, Iraq, Yaman, dan Mesir, serta di rantau Asia seperti di Acheh, Mindanau, Patani dan Myanmar.


Seorang nelayan semula jadi


Di sebalik semua pencapaian ini,  beliaa adalah seorang nelayan secara semula jadi. Beliau suka memancing, meneroka laut ketika cuaca tidak menentu dan air pasang, menemui horizon baru dalam landskap yang sentiasa berubah, dan penuh yakin dengan penyerahan mutlak kepada Yang Maha Berkuasa. Dia tidak banyak berbeza ketika beliau di daratan.

Dalam gembar-gembur isu Perdana Menteri, beliau secara berseloroh berkata, "Sebagai seorang pemimpin yang mendapat tarbiah Parti Islam, saya tidak boleh meminta untuk dilantik ke sesuatu jawatan. Apa yang paling penting, kita mesti terlebih dahulu mesti memperoleh kemenangan (dalam pilihan raya umum ke-13). Saya tidak keberatan untuk kembali menjadi seorang nelayan."

Saya bersetuju, kita hanya akan menyeberang sesebuah jambatan hanya apabila kita sudah menghampirinya.

Walau bagaimanapun, yang paling membimbangkan saya bukanlah jambatan terhampir, tetapi jambatan-jambatan lain di masa hadapan.

Satu cabaran bagi pemimpin masa hadapan PAS; dan langkah-langkah yang penting mesti bermula dari saat ini.

2 comments:

  1. Ya Allah rahmatilah semua tuan guru dan para alim ulama yang berjalan di atas landasan Mu ya Allah

    ReplyDelete

ampuni kami