Followers

HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Thursday, June 16, 2011

Daulatkan syariat Islam

SEPANJANG minggu ini telah disifatkan GMUKM sebagai minggu yang menghina agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) menyedari perkara yang pada awalnya bermotifkan kepentingan politik kini telah mengheret syariat Islam sedikit demi sedikit. Klimaksnya, tanpa sebarang motif yang jelas, tiba-tiba Utusan Malaysia didapati telah menyiarkan sebuah kartun yang jelas menghina syariat berkenaan saksi perbicaraan dalam Islam.
Jelas sekali mesej yang cuba disampaikan akhbar tersebut bahawa betapa zalim dan primitifnya Islam yang menggariskan syarat-syarat untuk membawa empat orang saksi dalam penghakiman kes zina, liwat dan rogol.
Lakaran kartun yang disiarkan cuba menggambarkan seorang wanita yang mendakwa dirogol dan membuktikan dengan rakaman handphone ditolak tok penghulu kerana tiada empat saksi.
Manakala ketika wanita sama mengadu kepada polis, bukti rakaman rogol menggunakan telefon bimbit diterima
PENGHINAAN TERHADAP ISLAM
"Ini jelas menghina Islam! Tindakan penulis ini adalah sama, malah lebih teruk daripada lakaran (pelukis Denmark) menghina Rasulullah SAW pada tahun 2006 dahulu," ulas Koordinator GMUKM, saudara Fariq Fitri ketika ditemui.
"Kita melihat percubaan mengaitkan kes mahkamah dengan syariat Islam ini adalah sangat-sangat memalukan dan menghina Islam seluruhnya, kerana kejahilan pelukis kartun ini telah memesong dan merosakkan objektif sebenar syariat membawa 4(orang) saksi yang diperintah di dalam Al-Quran.
"Kita kesal dan memohon pihak Kementerian (Dalam Negeri) menyiasat perkara ini kerana akhbar tersebut sudah dua kali mencetus provokasi yang jelas sangat-sangat menggugat negara," tambah saudara Fariq yang merujuk kepada insiden tajuk muka hadapan Utusan bulan lalu berkenaan 'Kristian Agama Persekutuan ?' yang juga telah diberi amaran oleh pihak Kementerian Dalam Negeri.
GUGUR AKIDAH
Bagi saudara Wan Ahmad Fahmi, MPM GMUKM bagi kerusi tahun umum 3/4 yang juga merupakan Pengerusi Biro Kerohanian & Pembangunan Insan PMUKM menyifatkan lakaran kartun yang dibuat ini sengaja dilakukan atas kepentingan politik biarpun tahu ia merupakan syariat di dalam Al-Quran.
"Kita lihat di dalam Surah an-Nur, ayat 4 bermaksud 'Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.'
"Perkara ini telah lama dibahaskan oleh alim-ulama (yang telah memperincikan) bahawa ciri-ciri empat orang saksi tersebut. Antaranya, keempat-empat orang saksi adalah orang lelaki yang sempurna; tidak cacat penglihatan, pekak, bisu. Juga tiada unsur pakatan atau paksaan di antara keempat-empat saksi tersebut. Perkara ini jelas untuk mengelakkan kesamaran, (yang mungkin membawa kepada) fitnah kepada si tuduh.
"Jika saksi tidak dapat dibawa, video atau apa jua bukti lain yang disebut sebagai 'qarinah' boleh diterima, namun memerlukan pengesahan orang yang ahli bidang tersebut. Aduan dibuat dengan adab secara tertutup tanpa sebarang hebahan kepada awam, kerana takut menimbulkan fitnah.
“Kita kesal dengan sikap pengamal media ini yang tidak menjaga etika dan moral mereka, (kerana) takut-takut perkara ini boleh membawa kepada gugurnya akidah sekiranya pelukis dan editor akhbar tersebut sedar akan syariat ini, tetapi masih hendak menyiarkan kartun tersebut," tambah Fahmi.
Merujuk pula kepada bilangan pemohon untuk keluar agama (murtad) seperti yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di dalam sidang Parlimen awal minggu ini, jumlah permohonan untuk murtad dari tahun 2000 hingga 2010 adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang.Daripada itu, jumlah tertinggi yang diluluskan adalah dari Sabah iaitu seramai 67 orang dan diikuti dari Negeri Sembilan dengan 33 orang.
"Kita khuatir dengan perkembangan tersebut yang membimbangkan seluruh umat Islam khusus di Malaysia kini. Jumlah 135 orang (yang murtad) bukanlah suatu angka yang biasa. Dan selebihnya daripada 686 orang yang telah memohon untuk murtad juga, sekiranya tidak ditangani dengan baik, individu tersebut akan murtad di luar(prosedur menukar status agama) dengan cukup sekali lafaz sahaja," ulas saudara Fahmi.
"Perkara ini bukan main-main kerana di setiap negeri kecuali di negeri Kelantan, ada sahaja permohonan untuk murtad. Maka masalah ini adalah masalah seluruh negara. Kita sebagai mahasiswa, perlu cakna (dengan perkara ini). Jangan sampai kita dipertanggungjawabkan di Hari Kemudian, atas sebab kita tak 'nak ambil tahu dan ambil tindakan dengan perkara ini.
"Saya menyeru kepada persatuan dan kelab-kelab di UKM, selain daripada kita merancang untuk adakan program-program Bakti Siswa atau OPKIM yang berkonsep turun ke lapangan masyarakat, jangan kita lupa untuk turun juga mendekati ahli-ahli masyarakat yang bermasalah akidah seperti ini. Perbanyakkan jaringan dengan majlis dan persatuan-persatuan penduduk atau komuniti masyarakat untuk kita kesan golongan bermasalah seperti ini," tambah saudara Fahmi merujuk kepada individu yang telah memohon menukar agama.
“Kita selaku yang faham tentang Islam dan tahu serba-sedikit tentang sifat hormat-menghormati serta akhlak baik perlulah bertanggungjawab turun ke lapangan masyarakat. Kita sendiri yang perlu turun menyedarkan mereka dan sebar fahamkan apa yang kita faham tentang Islam serta perkara-perkara berkaitan. Kedua-dua isu yang terjadi minggu ini jelas memerlukan satu tindakan bersepadu. Cadangan ringkas daripad saya, daulatkan syariat Islam,” ujar Fahmi mengakhiri temubual dengan Editor GMUKM

No comments:

Post a Comment

ampuni kami